30 September 2010

R.I.N.D.U

6hb SEPT 2010 (27th Ramadhan)
Aku masuk melangkah ke dalam bilik menjenguk emill. Seawal pukul 7 malam dia sudah tidur. Di luar bilik aku terdengar abang dan mak kelam kabut setelah menjawab panggilan telefon seseorang. Aku keluar dari bilik dan mak memberitahu Wan berada di hospital setelah jatuh pengsan di kampung. Seluruh badanku terasa lemah. Kali terakhir Wan masuk hospital lima tahun lalu kerana diserang stroke. Dia pulih semula dengan segera dan mengambil ubat sepanjang lima tahun ni. Aku cuba berfikiran positif dan segera menelefon suamiku yang berada di luar. Setiba di hospital, aku bergegas ke laluan kecemasan hospital. Wan berada di dalam ambulan. Dia akan dihantar ke hospital besar Seremban untuk brain scan. Aku tidak dapat melihat wajah Wan cuma sempat menyentuh kakinya. Sebaknya hati melihat Wan.Malam itu aku dan kakak iparku dihantar pulang (disebabkan anak-anak kecil kami)manakala yang lain-lain tidur di hospital. Pelik, emill masih tidur walaupun sudah jauh kami berjalan.

7hb SEPT 2010 (28th Ramadhan)
Aku bersahur bersama kakak iparku. Abang dan suamiku sampai seawal subuh dari hospital. Wan disahkan kritikal kerana terdapat darah beku di kepalanya. Hati aku sayu lagi. Aku meminta suamiku menghantarku ke hospital. Pagi itu aku tiba di hospital. Walaupun tidak dibenarkan masuk, hati aku puas dapat berada hampir dengan Wan. Aku tidak sabar menunggu waktu melawat.Emill bermain-main di ruang legar hospital. Tepat 12.30 tengahari aku masuk ke dalam wad. Mata sebelah kanan Wan tidak dapat dibuka. Namun Wan kelihatan berusaha gigih membuka matanya. Wan wanita tabah. Dia tidak pernah mengadu kesakitan ataupun menyuruh kami memicitnya ketika sakit. Dia sememangnya berhati waja. Apabila mendengar suara Emill, Wan mengangkat tangannya. Suaranya tidak jelas kedengaran. Lidahnya kelu lagi. Aku mendekatkan wajah Emill dengan tangan Wan. Tangan Wan meraba-raba wajah Emill. Emill memanggil Wan ''monyang..''. Aku menyuruh Emill mencium tangan dan pipi Wan. Kami beramai-ramai berkampung di hospital sehingga lewat malam. Ramai juga ahli keluargaku yang tidur di ruang legar hospital. Aku pulang ke rumah malam itu

8hb SEPT 2010 (29th Ramadhan)
Aku tiba petang di hospital setelah suamiku selesai dengan kerjanya. Wan kelihatan agak stabil. Mata sebelah kirinya sudah boleh dibuka luas dari semalam. Tutur katanya sudah boleh ku fahami. Aku membiarkan Emill bermain bersama ahli keluarga yang lain. Aku ingin menggunakan masa yang ada untuk duduk di sisi Wan. Pada awalnya Wan mengenali aku. Kemudian dia menganggap aku sebagai jururawat yang bertugas. Dia memanggil aku ''missi''. Aku melayan wan berbual. Banyak betul perkara yang dibualkannya. Seronok melihat Wan semakin sihat dibandingkan semalam. Wan sedayanya mengangkat tangan dan kakinya. Dia kelihatan bersemangat untuk sihat. Merenung wajah tuanya membuatku aku sayu. Wan berada di sisiku sepanjang usia 30 tahun ku ini. Aku, abang dan adik dibesarkan oleh wan setelah ayah kami meninggal dunia ketika usiaku 2tahun setengah. Kami tinggal bersama wan sehingga mak membeli rumah sendiri pada tahun 1992. Aku berada didalam darjah 6 ketika itu. Aku berpindah mengikut mak dengan rasa yang amat sedih meninggalkan wan di kampung. Namun rindu kami terubat jua kerana wan sering datang ke rumah kami. Malam itu aku pulang tidur di rumah setelah jam menunjukkan pukul 1am. Emill kelihatan cergas bermain walaupun kepenatan. Keluarga yang lain tidur di hospital.

9hb SEPT 2010 (30th Ramadhan)
 Adikku menjaga wan pada hari ini, begitu juga anak-anak perempuan wan yang lain. Kesal dihati kerana tidak dapat menjaga Wan sepenuhnya di hospital kerana menguruskan anak kecilku Emill. Namun syukur kerana suamiku juga banyak meluangkan masa menjaga Emill ketika aku melawat Wan. Pagi itu adikku memberitahu doktor membenarkan Wan pulang. Adikku memberitahu bekalan gas oksigen juga sudah diberhentikan. Aku masih lagi di rumah segera memberitahu suamiku. Hatiku sedikit bimbang kerana Wan belum sepenuhnya sihat dan aku merasakan masih awal Wan dibenarkan pulang. Namun doktor lebih pakar dari aku bukan. Aku mengemas barang-barang untuk dibawa pulang ke kampung. Kami akan beraya juga di kampung. Aku tiba lewat selepas berbuka di kampung kerana singgah mengambil lemang dan kerusi roda buat Wan. Di kampung mak dan busu memasak rendang daging sahaja. Perasaan beraya tiada sejak Wan masuk hospital. Setibanya di kampung, aku mendapatkan Wan di dalam bilik. Dia kelihatan ceria namun masih tidak boleh makan. Minuman dan ubat disalurkan melalui tiub pada hidungnya. Kami berbual dengan Wan. Wan berkata "Lip..esok hantar wan pogi kodai..boli ragi'' (ragi adalah bahan untuk membuat tapai). Wan telah memberitahu busu (ibu saudaraku) tentang rancangannya untuk hari raya. Begitu banyak juadah yang ingin dimasaknya.Dia juga telah menyukat beras pulut untuk memasak lemang namun hajat itu tidak kesampaian. Wan selalu ingin kami bergembira ketika hari raya. Semasa kami kecil. sebelum hari raya Wan akan pergi ke pekan berhampiran kampung dan membelikan kami cincin, gelang, pewangi, bedak dan lain-lain. Walaupun bukan emas, namun kami tetap gembira. Oh Wan...saya rindu kenangan bersama Wan.

10hb SEPT 2010 AIDILFITRI
Kami memohon maaf sesama sendiri dan kepada Wan. Kami cuba untuk menaikkan semangat raya namun di wajah kami masih terpancar rasa sayu dan sebak. Wan tidak dapat duduk hanya berbaring di atas katil. Dia mengenakan baju baru yang dibeli makteh. Ada banyak lagi baju raya Wan diberi oleh cucu dan anak-anaknya. Malam itu ketika ingin bertolak ke rumah mertua, aku memberitahu Wan. Berat rasa hati meninggal Wan. Rancangan awalnya untuk bertolak ke kampung suami pada raya ke2  namun kami berbincang untuk kembali ke kampungku semula keesokkan petang. Aku berjanji pada Wan bahawa aku akan kembali semula esok hari

11hb SEPT 2010 RAYA KE 2
Dari rumah mertua, kami bergerak pulang ke kampungku pada pukul 4pm. Lalulintas agak sesak. Didalam perjalanan itu kami mendapat panggilan telefon dari busu yang menggesa kami pulang segera kerana Wan akan dihantar ke hospital semula. Terdapat bengkak di kaki Wan. Malam itu kami hanya duduk di rumah menanti berita. Abang pulang dari hospital dan memberitahu terdapat darah beku di kaki wan dan pendarahan di kepalanya.

12hb SEPT 2010 RAYA KE 3
Kami bertolak ke hospital pada pagi hari raya ke 3. Tiba di hospital aku meluangkan masa dengan Wan. Emill bermain di luar wad bersama adik sepupuku haziq. Suamiku menjaga Emill. Sepanjang hari aku duduk bersama Wan. Ramai yang datang melawat. Kesemuanya bimbangkan kesihatan Wan. Aku memicit kaki kanannya yang terasa sejuk. Darah tidak mengalir di kakinya. Petang itu Emill mandi di hospital. Malam itu Wan muntah. Selepas muntah wan tidak mahu bercakap lagi.Malah kami tidur di hospital malam itu. Pukul 1am aku pergi ke kereta menyertai Emill dan suamiku. Emill kelihatan penat. Dia sungguh lena. 
13hb SEPT 2010 RAYA KE 4
Seawal subuh telefonku tidak berhenti berbunyi. Begitu sukar untuk membuka mata walaupun tidur di dalam kereta. Aku menyusukan Emill. Busu menelefon dan menyuruh aku masuk ke wad untuk membantu makteh memandikan Wan. Aku menuju ke wad. Pengawal seolah-olah sudah mengenali kami dan membenarkan aku masuk tanpa banyak bicara. Mungkin mereka mengerti kerana hanya keluarga kami ber'kawal' di ruang legar hospital sepanjang malam. Aku membantu menyalin pakaian Wan. Dia tidak mahu bercakap. Dia cuma memberi isyarat menyatakan dia panas. Aku mengipas Wan. Cuma sekali sahaja Wan bersuara ketika dia mencari-cari sesuatu, aku bertanya "WAn cari aper Wan..?" Wan menjawab "kipas". Kemudian dia tidak mahu bercakap lagi.Selesai membantu makteh aku pulang ke rumah. Petang itu aku kembali ke hospital semula. Ramai ahli keluarga berada di dalam wad. 
Keadaan sungguh sayu apabila Wan tidak bercakap lagi. Dia hanya memandang lemah. Nafasnya turun naik. Sejak dari pukul 4.30petang, ahli-ahli keluarga sudah mula berkumpul dan mengucapkan dua kalimah syahadah di sisi Wan. Aku keliru. Inikah saatnya. Makcik-makcik yang hadir menasihatkan kami agar ''redha'' dengan ketentuanNYA. Jauh di sudut hati aku seperti tidak percaya terbaring di hadapanku Wan yang amat aku sayangi..aku rindu senyuman mesranya, aku rindu tegurannya, aku rindu saat-saat kami masak bersama, aku rindu sentuhannya ketika aku sakit..aku amat rindu dia.

Malam itu Wan nazak.Kami berkumpul di hospital.Emill ku tidurkan di surau hospital. Aku juga melelapkan mata di sana. Anak-anak lelaki Wan berada di sisi Wan sepanjang malam.Malam itu aku merenung Wan dan di hati aku tahu Wan sangat menderita sekarang..Aku harus redha.....

14hb SEPT 2010 RAYA KE 5
Emill mengikut suamiku pulang. Doktor mengesahkan bahawa tiada apa yang mereka dapat lakukan lagi. Mereka membenarkan Wan dibawa pulang. Maktehku seorang jururawat mengusahakan ambulan dan tabung oksigen untuk menghantar Wan pulang. Aku menaikki kereta Makteh Siah pulang ke kampung. Suami dan anakku akan menyusul kemudian. setibanya di kampung, kami meletakkan Wan di tengah rumah. Ramai yang menziarahi membaca yassin buat Wan. Wan kelihatan lemah. Kesalku kerana tidak duduk di sisi Wan. Wan pernah bercerita kepada kakak iparku tentang seorang tua yang nazak dan cucu-cucunya mengaji khatamkan Al-Quran buatnya. 

Mungkin Wan akan gembira sekiranya kami cucu-cucunya dapat mengkhatamkan Al-Quran buatnya. Pakcikku segera mengambil seberapa banyak Al-Quran di surau. Aku membahagikan juzuk-juzuk Al-Quran kepada adik-adik sepupuku. Wan yang mengajarku mengaji...kepada Wan juga akan ku hadiahkan pahala ayat-ayat suci itu. Ketika aku sedang tekun mengaji, suamiku yang datang dari bawah menyuruh aku pergi ke Wan. Aku memegang kaki Wan, Mak ku sedang mengajar Wan mengucap..aku rasa sungguh terseksa melihat keadaan itu. Seperti terhenti duniaku sebentar. Wan menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 4.10pm. Ketika memandikan jenazah Wan, aku sememangnya sekuat mungkin menahan tangis. Aku tahu itulah kali terakhir aku akan menyentuh kaki yang berjasa pada ku..seseorang yang mendidikku dengan penuh kasih sayang. tidak pernah dia mengeluh atau menjerkahku..Dia sungguh sabar mendidik aku adik beradik. Kali terakhir menciumnya..aku berbisik pada Wan "Saya sayang Wan" dan air mataku mengalir deras sejurus selepas aku berdiri..Wan dikebumikan selepas isya'.

Rumah kampung tempat aku dibesarkan dengan penuh kasih sayang telah hilang seri tanpa Wan. Wanita yang bertahta dihati aku.aku rindu wan hingga saat ini....

 with my son

during my wedding...

kita semua pun akan ke sana kan.......


8 comments:

el said...

al-fatihah tuk arwah wan semoga roh beliau di tempatkn bersama2 org2 yg beriman..amin

-NiD's- said...

ALFATIHAH buat wan eMIL...walaupun tak kenaL tp baca N3 ni ckop tersentuh........

TAKZIAH dr saya....doakan wan semoga aman di sana..

sz | m.s.s said...

salam takziah utk family cik lip..alfatihah utk wan...
beruntungnya allahyarhamah dikelilingi anak cucu cicitnya semasa dihujung hayatnya...

kacamata said...

Al Fatihah . semuga roh wan dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam golongan orang yang beriman.

salam takziah daripada seri dan keluarga.

wirda ahmad said...

al-fatihah..kami pun kehilang pakcik sewaktu ramadhan..semoga beliau ditempatkan di kalangan mereka yang beriman...amin

Raisah @ echah said...

takziah LIP...semoga u tabah ok...
al fatihah...

Rohaida said...

Lip..takziah ye..aku bru tau nie pas bc ko nye entry..Al - Fatihah tuk arwan wan ko..

LIP (^_^) said...

terima kasih sahabatku sekalian diatas ucapan...

MY BUDDIES

MY STORIES